Tuesday, May 17, 2016

PEMAIN BOLASEPAK JDT DISYAKI MILIKI PISTOL..?

Safee Sali


JOHOR BAHRU - Pemain bola sepak JDT, Safee Sali mengakui terkejut apabila dimaklumkan mengenai penemuan sepucuk pistol bersama 30 butir peluru hidup ketika kereta pacuan empat roda (4WD) miliknya yang dipandu pemilik kedai aksesori kenderaan ditahan dalam sekatan jalan raya, semalam.

Safee berkata, dia dimaklumkan mengenai perkara itu pada petang semalam dan telah memberi keterangan kepada pihak polis selain turut menegaskan bahawa senjata api berkenaan bukan miliknya.

"Saya terkejut apabila diberitahu mengenai penemuan pistol itu dalam kereta saya dan diminta untuk beri keterangan bagi membantu siasatan.

"Kes ini masih dalam siasatan dan barang kes yang ditemui memang bukan milik saya dan saya tiada kena mengena dengan suspek," katanya.

Katanya, beliau menghantar kenderaan miliknya jenis Ford Ranger di sebuah kedai aksesori sebelum berangkat ke Kuala Lumpur bagi perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung pada Sabtu lalu.

"Sebelum ini saya menghantar kereta itu di sebuah kedai aksesori sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.

"Ini kali pertama saya hantar kereta ke kedai itu dan saya datang ke sana sebagai pelanggan dan langsung tidak mengenali suspek. Sepatutnya saya ambil semula kereta itu pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara selepas beliau memberi keterangan berhubung kes berkenaan, petang tadi.

Katanya, kenderaannya masih ditahan sementara oleh pihak polis bagi tujuan pemeriksaan lanjut dan siasatan.

Sebelum itu, suspek berusia 34 tahun ditahan polis ketika sekatan jalan raya berhampiran susur keluar Kempas Lebuhraya Utara Selatan selepas menemui sebuah beg berwarna kuning berisi sepucuk pistol dan kotak mengandungi 30 butir peluru hidup.

Suspek mendakwa menemui pistol dan peluru itu ketika memancing bersama rakannya di Loji Air di Jalan Sungai Tiram-Pasir Gudang dan menyimpan pistol dan peluru berkenaan di kedainya dengan alasan bagi melindungi keselamatannya.

Suspek kini dalam tahanan reman polis bagi siasatan lanjut.

No comments:

Post a Comment